Masa aktif
08 November 09Ada pelajar yang suka belajar di waktu pagi, ada yang suka belajar di waktu malam dan ada pelajar yang suka belajar di waktu petang. Walau apa pun pilihan anda, pastikan masa itu adalah masa yang paling sesuai untuk minda anda mempelajari sesuatu.
Selalunya pelajar suka mendengar nasihat yang terlalu umum seperti masa yang terbaik untuk belajar adalah pada waktu awal pagi atau lewat malam. Sebenarnya, ini semua bergantung kepada masa aktif anda.
Apa yang saya maksudkan dengan masa aktif ialah satu masa di mana anda merasa mudah untuk belajar sesuatu. Masa aktif saya adalah selepas bangun tidur, tidak kira tidur waktu malam atau siang. Jika semasa saya belajar dan mula rasa tidak dapat menyerap apa yang saya pelajari, saya akan berhenti untuk tidur sebentar. Apabila saya bangun, minda saya akan segar semula dan saya akan dapat belajar dengan lebih aktif. Ini adalah cara saya menggunakan masa aktif saya, bagaimana pula dengan anda?
Tabiat buruk yang harus dielakkan
09 November 09Semasa anda belajar, ada beberapa tabiat buruk yang perlu anda elakkan. Mari kita kongsi bersama satu daripada tabiat buruk ini.
Tabiat buruk yang perlu kita elakkan ialah menyebut perkataan ‘ susah’, ‘pening’ dan ‘tak boleh’. Berdasarkan pengelaman saya, ini adalah perkataan yang sangat digemari oleh pelajar. Baru sahaja cikgu perkenalkan topik baru, mereka dah kata “susah la topik ni cikgu”. Baru sahaja cikgu terangkan tentang topik baru itu, mereka dah kata ” pening la kepala saya cikgu”. Baru sahaja cikgu suruh buat latihan, mereka dah kata “tak boleh buat la cikgu”.
Ini adalah satu tabiat yang sangat buruk. Kita perlu sedar satu perkara. Ada satu bahagian di dalam otak kita yang bergerak balas terhadap arahan kita. Ia akan memastikan reaksi tubuh badan kita selari dengan apa yang kita arahkan. Contohnya, bila anda kata susah, bahagian otak ini akan bergerak balas dengan membuat tubuh badan anda kelihatan seperti orang susah. Anda akan duduk macam orang susah dan muka anda juga kelihatan susah. Akibatnya, anda benar-benar merasa susah dan tidak mungkin dapat mempelajari topik baru itu.
Jadi, buat permulaan, hindari daripada menyebut perkataan negatif di atas. Walaupun anda merasa susah semasa mempelajari sesuatu topik baru, bersabar dan teruskan usaha. Tarik nafas dalam-dalam dan wujudkan keyakinan dalam diri bahawa anda boleh memahami topik baru itu.
Teknik Belajar Matematik
1o November 09Ada beberapa perkara yang belajar daripada Budiyamin tentang matematik. Satu, kalau nak pandai matematik, kita kena suka matapelajaran tu. Habis, kalau kita dah memang tak suka macam mana? Caranya, mula-mula buat-buat macam kita sukakan matapelajaran tu. Kita macam berlakon sikit yang kita suka subjek tu. Kemudian, mula buat latihan sedikit demi sedikit. Tak perlu terus mula dengan 100 soalan. Bukan apa, takut terkejut nanti lepas tu terus makin benci.
Kedua, matematik adalah latihan dan latihan adalah matematik. Maksud saya, matematik adalah satu subjek yang anda perlu buat latihan untuk menguasainya, bukan membaca. (Ada pelajar yang belajar matematik dengan hanya membacanya). Saya berjaya menguasai matematik kerana saya ikut Budiyamin buat latihan. Semakin banyak latihan saya buat, saya jadi semakin cekap. Malah, ramai kawan sekelas akan tanya saya dan Budiyamin tentang cara menjawab soalan matematik.
Ketiga, matematik adalah matapelajaran yang memerlukan disiplin. Walaupun anda faham topik tertentu, anda tidak akan dapat menjawab dalam masa yang diberikan jika anda tidak mendisiplinkan diri untuk menjawab soalan matematik. Setiap kali anda berlatih menjawab soalan matematik, catat masa yang anda ambil. Selalunya anda ada masa kurang daripada 3 minit untuk menjawab satu soalan. Jadi, cuba kejar masa itu, maksud saya, cuba latih menjawab dengan secepat mungkin.
Keempat, anda perlu HAFAL SIFIR! Saya tahu ramai pelajar yang merungut tentang perkara ini. Ada pelajar tingkatan lima yang saya uji dengan sifir 7 pun tidak lepas. Alasan mereka, mereka boleh guna mesin kira, mengapa perlu ingat sifir?
Persoalannya ialah, hafal sifir bukan sahaja untuk mengetahui berapa 5 x 5 dan berapa 12 x 7. Tetapi, menghafal sifir akan membuat otak anda lebih cepat dan cekap mengira. Kalau asyik bergantung kepada mesin kira, daya pemikiran anda akan semakin lemah kerana tidak ada usaha yang dilakukan oleh otak anda. Lihat mereka yang handal matematik, pasti mereka cekap juga dalam sifir.
Akhir sekali, anda perlu ada azam dan kemahuan untuk jadi hebat dalam subjek matematik. Jika anda kisah tidak kisah, sukar untuk anda kuasai subjek ini. Insyaallah saya akan kongsikan lagi di masa akan datang petua-petua untuk menguasai matapelajaran matematik ini.
No comments:
Post a Comment